, Bandar. | abenisme

Pages

"seorang rabun yang tidak rabun hatinya...gitchuu"

Thursday, 24 October 2013

Bandar.

Bandar.  Aku tidak dilahirkan di Bandar.  Tapi aku pernah dibesarkan di Bandar selama beberapa tahun.  Aku dibesarkan di kuarters Askar Melayu DiRaja.  Ayahku tentera, emakku suri rumah dan hanya membuat kuih untuk dijual di setiap tingkat di kuarters tersebut.


Aku masih ingat pada kawan bisuku Mira.  Mira tak pernah ada kawan lain selain aku dan abangku.  Sebab anak askar yang lain selalu memburu Mira untuk membulinya.  Abang aku sering menjadi HERO tatkala Mira dibuli.

"Aaaakk...akkkk....eerrrkkk....eeemeeee aaaheeehhhhh...arkkkkk"  Tu je yang aku dengar dari mulut Mira.  Dia ucap terima kasih. Mungkin.

Mungkin kerana itu dia selalu ada dimana saja aku dan abangku ada.  Dia rasa selamat.  Mungkin.

Aku di Bandar tak lama.  Cuma sampai aku 5tahun.  Tapi, aku tak tahu kenapa, ingatan tentang kehidupan di Bandar tak pernah hilang.  Walau semua yang berlaku ketika aku masih kanak-kanak.  Mungkin ketika itu otak aku belum pernah ada warna lain selain putih.  Maka ingatan tu tinggal di kotak fikiran aku sampai laa ni!

Aku masih ingat, setiap petang aku dan abang akan menunggu di beranda kuarters sambil memandang ke bawah dengan harapan lori KFC akan muncul.  Bukan untuk dibeli tapi cukup sekadar untuk "membeli secara percuma" bau ayam gorengnya.  Bila lori sampai aku dan abang akan memandang sesama sendiri sambil tersenyum lebar.

"Bang, lori KFC lah! Ermmmm sedapnya bau!!! Mintak Mak beli jom..."
"Eh, mana boleh.  Mak tak ada duit lah! Dah jom masuk!" Hampa bila abang tak menyokong idea aku.  Dengan muka mencuka aku masuk rumah dengan harapan Mak akan nampak dan turun untuk belikan aku ayam KFC.

"Ni apasal masam je ni?" Yes!! Mak perasan muka cuka aku.
"Orang nak KFC.  Lori dia kat bawah."  kataku sambil buat muka bayi kembung perut.
"Mak tak ada duit nak beli, nak.  Tunggu ayah balik nanti mintak kat Ayah eh?"  Mak memujuk aku dengan harapan aku faham situasi keluargaku.  Aku tau itu cumalah kata-kata harapan untuk aku.  Biasanya waktu Ayah balik pasti lori KFC dah pergi ke kawasan lain.

Tutup cerita pasal KFC sebab aku yang tengah menulis ni lapar oih!*imaginasi kuat sangat!*

Aku masih ingat dalam kuarters di Bandar dulu.  Setiap tengah hari mak akan buat kuih untuk dijual di setiap tingkat di kuarters tu.  Sedang mak menyusun kuih dalam bekas, aku akan datang mencuit-cuit kuih yang nampak macam mainan kat mata aku.

"Janganlah usik kuih tu.  Mak nak jual.." Tegur Mak sambil menepis tangan aku.  Aku pulak jenis tak reti makan saman.  Aku akan terus-menerus mencuit kuih tersebut.

"Mak cakap sekali tu dengarlah! Mak cakap jangan tadi kan?!" Kali ke-2 Mak bersuara dan aku masih dengan perbuatanku.  Kali ke-3 memang tak banyak cakap, Mak libas belakang aku dengan hanger.  Mendapat!!  Aku meraung, berlari masuk bilik.  Aku tau Mak menangis.  Setiap kali aku dan adik-beradik lain kena sebat, Mak pasti menangis.  Tu je cara nak didik anak yang degil.

Lepas 5minit meraung aku pasti tertidur.  Belakang badan tak payah cakaplah.  Berdenyut.  Aku akan tidur meniarap.  Bila tengok aku tidur, Mak akan datang untuk sapu minyak gamat belakang aku.  Masa tu aku pasti terjaga.  Bangun, terus memeluk mak.  Mak akan menangis sambil peluk aku.

Kehidupan kami di Bandar tak lah mewah.  Ibarat kais pagi makan petang, kais petang makan pagi esok.  Ayah bukanlah berjawatan besar dalam tentera.  Cuma sebagai Prebet.  Gaji ciput.  Nasiblah duduk kuarters.  Kalau rumah sewa, tak tahulah.  Tapi, mak dan ayah tak pernah merungut.  Apa yang anak-anaknya mahu, mereka akan sedaya upaya memenuhinya.

Aku masih ingat pada satu malam, ayah bawa kitorang pergi pasar malam.  Mak dukung Adik, Ayah pimpin tangan aku dan Abang.  Masa berjalan di pasar malam aku dan Abang ternampak sate.  Abang pandang Ayah.  Ayah seakan faham pandangan Abang dan terus ke arah pakcik jual sate tu.

"Bagi 3cucuk bang."  Ayah mintak dengan penuh yakin.  Pakcik tu pandang ayah sambil tersenyum.
"Nah.  90sen."  Servis bertukar tangan.  Ayah dapat sate, pakcik dapat 90sen ayah.  Ayah menghulurkan seorang satu, aku, Abang dan Adik.  Mak Ayah?  Cukuplah sekadar melihat anak-anak mereka gembira dapat sate yang diinginkan.

Selepas puas berjalan mencuci mata melihat orang membeli belah, kami pulang.  Adik tidur di pelukan Mak.  Aku tidur di pelukan Ayah.  Abang dipimpin Ayah untuk pulang ke rumah.  Bila sampai di rumah, aku terjaga dan tak mahu lelap lagi.  Terkebil-kebil aku dalam gelap bilik itu.  Aku lihat Adik disebelahku, Abang di sebelah adik.  Aku bangun ingin ke dapur.  Tapi, langkahku terhenti bila terdengar Ayah dan Mak seperti berbincang sesuatu.  Kampung.  Ya, aku dengar perkataan tu kerap muncul dalam perbincangan Ayah dan Mak.  Mahu balik kampung tengok Uwan Atuk ke?  Aku tak pasti.  Aku tak mahu minum lagi, aku terus tidur semula ditilam nipis itu.

Begitulah kehidupan di Bandar.  Cukup susah bagi mereka yang susah.  Cukup senang bagi mereka yang senang.  Selepas Ayah mengambil pencen awal, kami pulang ke kampung, meneruskan kehidupan sebagai sebuah keluarga bahagia.  Tanpa pening kepala dengan kos sara hidup yang cukup tinggi di Bandar.  Ayah kata cukuplah duduk di Bandar.  Tak mampu lagi rasanya untuk meredah kehidupan di Bandar.  Cukuplah.

2 comments:

ZULHILMI TEMPOYAK said...

cukup susah atau sekadar mencabar?

Unknown said...

Kedua-duanya mungkin. Mencabar bagi mereka yg tahan dengan cabaran hidup di bandar.. Dan cukup susah bagi mereka yg tak larat dengan cabaran kehidupan bandar...

Hai there..